MACHANG 2 Julai – Penantian penduduk di daerah ini sejak 10 tahun lalu untuk mendapat kemudahan bangunan serbaguna berakhir dengan pembinaan Kompleks Perpaduan Machang.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Baharin Idris berkata, pembinaan kompleks yang bernilai RM9.8 juta itu akan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan Julai ini.
Katanya, projek tersebut pada asalnya dijangka menelan kos sebanyak RM10.6 juta namun dapat disiapkan dengan kos yang lebih rendah.
“Kompleks ini bakal menjadi projek contoh kepada pembinaan Kompleks Perpaduan di seluruh negara pada masa akan datang.
“Ia dilengkapi dengan bilik seminar, pejabat am, tabika serta dewan serbaguna yang bakal menjadi pusat aktiviti penduduk di sini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Kompleks Perpaduan Daerah Machang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JKR negeri, Datuk Ir. Razani Ab. Lazid; Pengarah JPNIN negeri, Norwahidah Zinalibdin dan Ketua Jajahan Machang, Ibrahim Bakri Mat Deris.
Baharin berkata, kompleks tersebut bukan sahaja untuk kegunaan aktiviti JPNIN tetapi juga melibatkan apa sahaja aktiviti kemasyarakatan dalam usaha mengukuhkan perpaduan dan hubungan baik masyarakat.
“Kompleks ini akan menjadi platform bagi merancakkan aktiviti penduduk melibatkan pelbagai bidang termasuk pendidikan,kemasyarakatan, pusat perundingan dan sebagainya.
“Semua pihak perlu bersama-sama menjaga dan manfaatkan kemudahan yang disediakan ini sebaik mungkin,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya amat berterima kasih kepada semua pihak khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) yang banyak memainkan peranan bagi menjayakan pembinaan ini.
Pembinaan kompleks tersebut telah dimulakan pada 20 November 2016 dan siap sepenuhnya pada 27 Mac lalu. – UTUSAN ONLINE











