KUALA LUMPUR 16 Julai – Sistem teknologi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) perlu ditambah baik bagi meningkatkan tahap keberkesanan dalam membanteras sindiket pengedaran dadah di negara ini.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, penambahbaikan dalam bantuan teknologi itu amat diperlukan memandangkan evolusi jenayah berkaitan dadah semakin ‘hebat’ berbanding undang-undang sedia ada.
“(Kita perlukan) sokongan teknologi kerana sindiket ini lebih maju daripada kita. Evolusi dadah lebih hebat daripada apa yang ada dengan undang-undang kita.
“Ini perkara yang perlu saya lakukan dengan pantas bagi memastikan kita setanding dengan kemajuan penyeludupan dadah ke negara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Terima Tugas Jawatan Pengarah JSJN dan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN).
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.
Sementara itu, Mazlan ketika ditemui menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam gejala dadah.
“Kalau dah sampai tidak dapat mengawal dan menjejaskan perkhidmatan, kami akan pastikan mereka dituduh di mahkamah bagi memastikan nama pasukan tidak buruk,” katanya.
Beliau berkata, walaupun pihaknya telah menjalankan langkah-langkah pemulihan terhadap mereka yang terlibat, masih ada segelintir yang terbabit dalam kegiatan itu.- BERNAMA











