Pemulihan air capai 94 peratus tengah hari ini - Utusan Malaysia

Pemulihan air capai 94 peratus tengah hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 21 Julai – Proses pemulihan bekalan air di tujuh wilayah terjejas di Selangor dan Kuala Lumpur susulan pencemaran bau sudah mencapai tahap 94 peratus sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi,Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad berkata bagi Wilayah Kuala Selangor dan Hulu Selangor, bekalan air telah pulih sepenuhnya.

“Bagi kawasan Kuala Lumpur pula, bekalan air sudah pulih 99 peratus, Petaling Jaya 95 peratus, Gombak 94 peratus, manakala Klang dan Shah Alam sebanyak 91 peratus serta 78 peratus di Kuala Langat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Abdul Raof menambah, pihaknya menyasarkan bekalan air di Gombak pulih sepenuhnya esok, manakala Kuala Lumpur pada Selasa dan tiga kawasan lagi akan pulih sepenuhnya pada 12 tengah hari Rabu ini.

“Kami sedang berusaha mempercepatkan pemulihan keseluruhan kawasan terjejas dengan meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan di sistem agihan,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air itu boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, Aplikasi Air Selangor atau menerusi laman Facebook Air Selangor dan Twitter @airselangor.

Sementara itu, kerja-kerja pembersihan minyak hitam di kebuk masuk loji rawatan kumbahan Batang Kali, Hulu Selangor yang dikatakan menjadi punca pencemaran bau dan seterusnya menjejaskan bekalan air telah siap sepenuhnya dengan loji itu kembali beroperasi pada pukul 5 petang semalam.

Ketua Operasi Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Wilayah Selatan Mohd Taufik Salleh berkata pelepasan efluen juga adalah mengikuti piawaian ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Pemeriksaan IWK pada awal pagi Sabtu mendapati terdapat minyak pekat berwarna hitam yang memasuki loji pada pukul 7 pagi dan serentak dengan itu pelepasan efluen dihentikan buat sementara waktu bagi menjalankan operasi pembersihan segera.

“Bagi mengelak sebarang gangguan kepada kualiti efluen, pengasingan telah segera dibuat untuk mengawal pelepasan terakhirnya ke Sungai Liam,” katanya dalam satu kenyataan berasingan hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini