KUALA LUMPUR 3 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menyifatkan Pas sebagai ‘parti flip-flop’ dan mempunyai pemimpin ‘U-turn’ yang dakwanya tidak konsisten dengan kenyataan yang dikeluarkan contohnya berkaitan isu terbaharu seperti isu pengistiharan harta serta kerjasama dengan UMNO.
Mujahid berkata, beliau tidak terkejut sekiranya Pas selepas ini terus membuat kenyataan berbeza dan ‘flip-flop’ berkenaan pelawaan Ketua Ulama Pas, Dr. Nik Zawawi Salleh untuk berdialog dengannya.
“Mula-mula kata tidak kira siapa yang dipelawa, tetapi bila ada yang menawarkan diri (pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin dan Pengarah Syariah Amanah, Zolkharnain Abidin), kata tidak setaraf, budak jalanan.
“Dulu kata kena isytihar harta, kini kata tak perlu kerana Islam tidak bagi. Dulu kata UMNO wajib ditumbangkan, kini dah berkawan baik pula.
“Jadi saya tidak terkejut kalau Ketua Ulamaknya punya kenyataan pun ‘flip-flop’ kerana selama ini pun Pas memang ‘flip-flop’,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Semarak Syawal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











