Pemilik senjata api perlu hadir sendiri baharui lesen - Utusan Malaysia

Pemilik senjata api perlu hadir sendiri baharui lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU – Semua pemilik lesen senjata api di negeri ini perlu hadir sendiri ke balai polis untuk memperbaharui lesen yang dipegang dan bukan menghantar wakil.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, selain itu, pemilik juga dikehendaki membawa bersama senjata api didaftarkan ketika membaharui lesen.

“Pemegang lesen perlu membawa senjata api untuk pihak kami lihat, periksa dan bandingkan seperti mana yang didaftarkan pada lesen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak mahu mungkin ada di antara pemegang lesen ini, misalnya hilang pistol tapi mahu lesen diperbaharui dan (kehilangan senjata) tidak dilaporkan, kita takut orang jahat guna untuk jenayah,” katanya selepas majlis pembaharuan lesen bagi pemegang lesen senjata api awam di sini, hari ini.

Mengulas mengenai majlis hari ini, Omar memberitahu, sebanyak 21 daripada 26 pemegang lesen senjata api dari Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu, hadir memperbaharui lesen mereka hari ini.

Jelasnya, namun dua pemilik menghantar wakil, sekali gus pembaharuan lesen mereka tidak dibenarkan.

“Kita minta yang menghantar wakil ini agar berurusan sendiri, manakala ada lima lagi pemegang lesen berada di luar negara dan kita minta mereka agar segera memperbaharui lesen di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Kepayan.

“Selain itu, semua pemilik bakakuk di negeri ini diminta secara sukarela memusnahkan senjata buatan sendiri itu, atau menyerahkan kepada pihak berkuasa kerana mengikut undang-undang pemilikan bakakuk tetap dikategorikan sebagai senjata haram, yang mana pemiliknya boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Omar menambah, pihaknya telah merampas sebanyak 137 laras senjata bakakuk sejak tahun 2017 hingga tahun ini.

Selain itu, dalam perkembangan berasingan Omar mengesahkan terdapat seorang calon temu duga jawatan Konstabel Polis Siri 2/2019 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau ditahan semalam kerana positif dadah

“Suspek yang berumur 21 tahun itu antara 114 calon yang hadir menghadiri temu duga berkenaan dan disahkan positif dadah jenis ganja selepas melalui ujian saringan air kencing.

“Lelaki itu sudah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pemulihan Dadah dan Rawatan 1983,” katanya- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini