Pemilik kilang didakwa tipu jual beli tanah RM2.1 juta - Utusan Malaysia

Pemilik kilang didakwa tipu jual beli tanah RM2.1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang pemilik kilang besi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memalsukan dokumen serta menipu berkaitan urusan jual beli sebidang tanah seluas kira-kira dua hektar membabitkan kerugian RM2.1 juta, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Tan Sing Sze, 40, mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa membaca kedua-dua pertuduhan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Razali Ariffin.

Mengikut pertuduhan pertama, Sing Sze yang juga pemilik kilang di Tanjung Karang didakwa dengan curang menggunakan kad pengenalan dan borang 5DK (geran tanah) yang diketahuinya palsu untuk dianggap sebagai tulen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta denda mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tiga anak itu didakwa memperdaya dua individu dan secara curang mendorong mereka untuk membeli tanah di pekan Kampung Kuantan, Kuala Selangor yang diperoleh secara penipuan dengan nilai tidak munasabah berjumlah RM2.1 juta.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan Pejabat Dearah dan Tanah Kuala Selangor antara 27 Oktober hingga 23 November 2015.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alison Chan May Kham dalam prosidingnya berkata, tiada penawaran jaminan ke atas tertuduh memandangkan kesalahannya di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan.

“Jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin,  saya memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan. Selain itu, tertuduh juga perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah,”katanya.

Razali kemudiannya membenarkan Sing Sze diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Tertuduh yang diwakili peguam, Adam B.H Yap membayar wang jaminan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini