KUALA LUMPUR – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sudah lebih seminggu ditangguhkan, namun masih tiada kata putus diberikan berhubung tarikh baharu AGM dan status pemilihan badan induk itu.
Setiausaha Agung MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid ketika dihubungi Bernama berkata, tarikh baharu untuk mengadakan AGM tidak dapat diputuskan lagi kerana ahli exco belum dipanggil untuk bermesyuarat.
“Mesyuarat exco mungkin diadakan pada minggu ini atau minggu hadapan. Kami tidak pasti lagi bila, kerana presiden (SM Nasarudin SM Nasimuddin) masih belum maklumkan apa-apa,” katanya.
Siti Zaharah menjelaskan tarikh baharu AGM hanya boleh diputuskan pada Mesyuarat Exco dan seterusnya tarikh itu perlu dikemukakan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk mendapatkan kelulusan.
Usaha Bernama untuk mendapat maklumbalas daripada presiden bagaimanapun tidak mendapat respon.
Untuk rekod, MPM mengambil keputusan menangguhkan AGM Ke-22 yang sepatutnya berlangsung pada 29 Jun, serentak dengan proses pemilihan pucuk pimpinan tertinggi badan induk itu.
Berdasarkan perlembagaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh penangguhan, MPM perlu memanggil semua ahli gabungan untuk membincangkan tarikh baharu, sebelum diserahkan kepada Pesuruhjaya Sukan.
Kemelut itu tercetus apabila bekas menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Ragbi Berkerusi Roda menghantar borang pencalonan, melebihi tempoh dibenarkan.
Perkara itu menyebabkan rasa tidak puas hati seorang lagi calon presiden, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang tampil menyerahkan sejumlah bukti kepada PJS bagi menyemak semula kelayakan Khairy. – BERNAMA











