Pemandu Uber hantar pelanggan sejauh 320 kilometer - Utusan Malaysia

Pemandu Uber hantar pelanggan sejauh 320 kilometer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINNEAPOLIS, Minnesota – Seorang pemandu Uber menjadi penyelamat kepada dua adik-beradik perempuan yang terkandas ketika dalam perjalanan untuk menyambut hari jadi ke-100 ibu saudara mereka baru-baru ini, lapor portal berita Good News Network kelmarin.

Twitter/Kerry MaggardMAGGARD (kanan) menyambut hari lahir ke-100 ibu saudaranya di Edgerton, Minnesota baru-baru ini.

Penerbangan yang ditempah dua beradik itu, Kerry Maggard dan Deb Eggers dari bandar ini ke Sioux Falls, Dakota Selatan dibatalkan pada hujung minggu lalu disebabkan cuaca buruk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malang bagi adik dan kakak itu, kesemua penerbangan lain ke Dakota Selatan sudah habis ditempah dan mereka turut gagal menyewa sebuah kereta untuk perjalanan sejauh 320 kilometer.

Tanpa pilihan lain, Maggard cuba menempah perkhidmatan Uber untuk perjalanan jauh itu yang kemudian diterima oleh seorang pemandu bernama Jesus Florentino.

“Saya terkejut ada pemandu sanggup menerima tempahan kami. Cubaan itu umpama pilihan akhir kami untuk melihat jika ada yang sanggup menerimanya,” jelas Maggard kepada rangkaian berita CNN.

“Tempahan kami diterima hampir serta-merta dan kami menerima mesej memaklumkan bahawa Jesus akan tiba dalam masa 7 minit, satu kejutan besar bagi kami,” tambahnya.

Tanpa mengambil kira jaraknya, Florentino gembira menerima tempahan dua beradik tersebut dan turut memberi jaminan bahawa kedua-duanya pasti sempat menyambut hari jadi makcik mereka.

Selepas tiba di rumah yang dituju di Sioux Falls kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan), Florentino berpatah balik untuk perjalanan pulang selama 4 jam dengan memandu berseorangan.

Maggard memberitahu CNN bahawa dia memberi tambahan tip AS$50 (RM210) untuk perjalanan berharga AS$216 (RM890) itu sebagai imbuhan kerana jasa Florentino

“Saya merasakan mereka perlu menghadiri majlis hari jadi itu, lagipun saya memang suka memandu. Ia satu majlis penting dan jika saya di tempat mereka, saya juga akan menghargai jasa baik seseorang yang sudi membantu” kata Florentino kepada CNN. – Agensi

MAGGARD (kanan) menyambut hari lahir ke-100 ibu saudaranya di Edgerton, Minnesota baru-baru ini.

IMEJ daripada paparan skrin telefon bimbit menunjukkan Florentino sedang menuju ke lokasi Maggard selepas menerima tempahannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini