SEREMBAN – Seorang pemandu lori berusia 65 tahun di sini ditahan polis kerana disyaki melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam sebuah kereta bulan lalu.
Lelaki itu ditahan selepas ibu mangsa berusia 49 tahun membuat laporan polis pada pukul 3 petang semalam berikutan rakaman video perbuatan tidak senonoh lelaki tersebut tersebar di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan berkata, lelaki itu ditahan semasa dia dalam perjalanan ke Padang Besar, Perlis untuk menghantar barang menggunakan sebuah lori malam tadi.
“Pasukan polis berjaya mengesan suspek dan memintas lori itu, menahan serta menangkapnya di Lebuh Raya Gopeng, Perak pada pukul 9.20 malam tadi.
“Siasatan mendapati suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat logistik di Seri Kembangan, Selangor telah berkahwin, mempunyai seorang isteri dan dua anak lelaki.
“Suspek dan keluarganya menetap di sebuah taman perumahan di bandar Seremban,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Semalam satu rakaman video seorang lelaki dewasa melakukan kelucahan melampau keatas seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah kereta tular di media sosial.
Berikutan itu, polis menerima sebanyak 17 laporan polis dibuat oleh orang ramai yang marah dengan perbuatan lelaki dalam rakaman video tersebut.
Wan Rukman berkata, siasatan awal polis mendapati suspek mengenali mangsa sejak beberapa bulan lalu kerana mereka tinggal di kawasan perumahan berhampiran dan suspek kerap singgah di kedai milik ibu suspek.
Menurut beliau, suspek dipercayai telah melakukan perbuatan itu ke atas mangsa sebanyak tiga kali pada bulan lalu dengan datang ke rumah mangsa sewaktu mangsa tinggal berseorangan dan mengajaknya keluar.
Jelas beliau, suspek memperdaya mangsa mahu membeli barangan kegemaran pelajar sekolah rendah itu seperti alat tulis dan makanan sebelum melakukan kelucahan melampau tersebut.
“Kejadian terbaharu mangsa dibawa ke kawasan parkir kereta di bandar Seremban dan suspek melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa dalam sebuah kereta jenis Proton Waja.
“Suspek dipercayai merakam sendiri perbuatannya itu. Bagaimana rakaman video itu boleh tersebar di media sosial masih dalam siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak lagi menularkan rakaman video itu serta tidak terlalu beremosi dan menyerahkan kepada pihak polis melakukan siasatan.
Kata beliau, suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 15 Julai ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Polis merampas kereta Proton Waja milik suspek dan dua telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan untuk merakam kejadian itu.
“Mangsa kini di hospital dibawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemeriksaan pihak hospital mengesahkan tiada elemen rogol keatas mangsa,” katanya. – K! ONLINE











