Pemain kacukan dalam radar FAM - Utusan Malaysia

Pemain kacukan dalam radar FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Dua pemain muda berdarah kacukan Malaysia yang berpangkalan di Eropah, kini berada dalam radar terbaharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk didaftarkan bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, kedua-dua pemain itu, masing-masing berusia 21 tahun beraksi di Jerman dan pemain berumur 18 tahun di England, sudah menyatakan kesanggupan serta minat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Beliau mengesahkan FAM sudah menyerahkan dokumentasi lengkap kedua-dua pemain muda itu bersama-sama dua calon utama pemain naturalisasi – pemain tengah Melaka, Liridon Krasniqi dan penyerang sensasi Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, untuk dinilai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sudah serahkan dokumen mereka kepada KDN, semalam untuk pertimbangan. Kita kena betul-betul pastikan kesahihan dokumen dan kedua-dua pemain itu ada pertalian darah dengan Malaysia. Kami telah berhubung dan kedua-dua pemain (berpangkalan di Eropah itu) bersetuju dan berminat bermain untuk Malaysia,” katanya.

Stuart, bagaimanapun berkata, maklumat penuh mengenai dua pemain yang beraksi di Eropah itu hanya akan diumumkan selepas penilaian penuh dijalankan KDN terhadap dokumen mereka selesai.

“Sebaik kita mendapat pengesahan dari kerajaan bahawa mereka (pemain muda berkenaan) ini ada pertalian darah yang sah (dengan rakyat Malaysia), kita akan umumkan nama mereka,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan KDN, Stuart berkata, selain menyerahkan dokumen keempat-empat pemain tersebut, pertemuan itu adalah bagi FAM memahami lebih jelas berkaitan langkah seterusnya dalam proses menaturalisasikan pemain.

“Pertemuan kedua dengan KDN kali ini (tidak melibatkan menteri) untuk menyerahkan set dokumen pemain bagi tujuan diperhalusi sepenuhnya. Kita telah menyerahkan dokumen-dokumen tertentu, dan terpulang kepada KDN untuk menasihatkan kami mengenai langkah seterusnya,” kata beliau.

Terdahulu, pertemuan pertama delegasi FAM dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, Mei lepas, membincangkan perancangan masa depan badan induk itu menerusi Peta Hala Tuju (Roadmap) FAM 2019-2030, yang turut melibatkan program naturalisasi pemain kelolaan FAM. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini