NICE, PERANCIS – Pemain tengah England, Karen Carney akan mengumumkan persaraan dari bola sepak selepas pasukannya beraksi menentang Sweden bagi merebut tempat ketiga pada Piala Dunia di Nice, esok, umum pemain berusia 31 tahun itu.
“Saya mungkin sudah cukup dikenali sekarang. Minda saya masih mahu melakukan segala-galanya, tetapi tubuh saya tidak boleh lagi untuk meneruskannya. Pada satu ketika tubuh anda akan memberitahu anda cukup, cukuplah dan rasanya saya sudah mencapai tahap itu,” kata Carney tentang keputusannya itu pada sidang akhbar, hari ini.
Carney, yang beraksi dalam kesemua tiga perlawanan bersama England di peringkat kumpulan pada Piala Dunia, tetapi tidak diturunkan sejak itu, telah melakukan 143 penampilan sejak mula mewakili Lionesses pada 2005.
Menjadi sebahagian daripada skuad England yang memenangi pingat gangsa pada Piala Dunia 2015 di Kanada, keputusannya itu bermakna pemain tersebut turut menamatkan kariernya bersama Chelsea di mana dia memenangi gelaran liga dan Piala FA bagi musim 2017/18.
Merangkul gelaran quadruple sewaktu bersama Arsenal bagi musim 2006/07, Carney juga pernah beraksi dengan Birmingham City dan Chicago Red Stars.
“Saya berasa satu penghormatan dalam tempoh yang singkat, saya berpeluang mengenali salah seorang pemain yang hebat, tetapi apa yang lebih penting dia adalah seorang individu yang mengagumkan yang mana saya berasakan diri saya sangat bernasib baik sebagai pengurus,” kata pengurus England, Phil Neville.
The Lionesses berharap dapat menamatkan saingan di kedudukan ketiga yang bakal menyaksikan buat kali kedua berturut-turut mereka berbuat demikian pada Piala Dunia selepas tumpas 1-2 kepada Amerika Syarikat dalam separuh akhir di Lyon, Rabu lalu.
“Pertemuan, esok sudah pasti menarik, adakah kami mampu menewaskan pasukan seperti Sweden? Mereka bermain dengan sangat tersusun dan beraksi dalam sistem yang baik, malah mereka juga memiliki pemain yang bagus di posisi depan.
“Mereka secara konsisten memberikan cabaran dan cuba untuk melepasi halangan separuh akhir. Saya rasa anda akan menyaksikan dua pasukan hebat yang akan menyerang dan mahu meraih kemenangan untuk pingat gangsa. Ia bukanlah pingat yang kami mahukan, tetapi itu satu-satunya pingat yang boleh dimenangi,” kata Neville. – AFP











