PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin percaya skuad negara berpeluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 tetapi dengan syarat perlu mengutip 16 mata pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula September depan.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya yang dikendalikan Tan Cheng Hoe itu meraih sedikit tuah apabila diundi bersama tiga pasukan Asia Tenggara iaitu Vietnam, Thailand dan Indonesia selain Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan G.
Susulan itu, Hamidin mengakui sudah berbincang dengan Cheng Hoe mengenai potensi skuad Malaysia dalam misi mengintai peluang ke pusingan akhir Piala Asia 2023, selain kelayakan terakhir Piala Dunia 2022.
“Saya sudah bertemu dengan Cheng Hoe dan memaklumkannya bahawa pasukan kita tidak boleh terlalu ghairah meskipun diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan tiga negara Asia Tenggara (Thailand, Vietnam dan Indonesia).
“Di atas kertas, ini merupakan peluang terbaik buat skuad negara memandangkan kita ada pengalaman bertemu mereka. Indonesia, Vietnam dan Thailand berada pada tahap yang cukup baik tetapi segalanya bergantung pada hari perlawanan.
“Saya harap kita boleh ambil kesempatan kali ini untuk mendapatkan kedudukan naib juara. Empat perlawanan di laman sendiri menjadi kunci buat skuad negara yang memerlukan sekurang-kurangnya 16 mata untuk merealisasikan hasrat tersebut,” katanya kepada pemberita.
Hamidin ditemui ketika menghadiri majlis ramah mesra bersama pengamal media di Kuala Lumpur semalam.
Sebagai rekod, hanya juara serta empat naib juara terbaik setiap kumpulan akan meraih tiket automatik ke saingan Piala Asia 2023 di China nanti, manakala empat lagi baki naib juara serta empat pasukan terbaik di tempat ketiga akan beraksi pada pusingan kelayakan terakhir.
Hadimin mengakui ancaman terbesar skuad Harimau Malaya ialah pasukan UAE yang pernah merekodkan sejarah hitam bola sepak negara dengan kekalahan 0-10 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di Abu Dhabi, empat tahun lalu.











