KUALA LUMPUR 10 Julai – Presiden parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendesak Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menjelaskan sebab-sebab mengapa pensyarah disekat daripada bersuara.
Ini berikutan arahan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada Pensyarah Sains Politiknya, Abdul Muein Abadi supaya tidak menulis sebarang isu politik yang sensitif.
Dominic mempersoalkan mengapa tindakan itu dilakukan sedangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkobar-kobar ingin mahu memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kononnya untuk melindungi kebebasan akademik dan suara pelajar.
“Tetapi UKM mengarahkan pensyarahnya (Abdul Muein) untuk berhenti menulis isu-isu politik yang sensitif selepas Datuk A. Kadir Jasin (Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia) menegur kenyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 2 Julai lalu, Abdul Muein telah memuat naik status yang mendedahkan laporan eksklusif: 400 hari Pakatan jual lebih RM20 bilion aset negara.
Dalam status itu, beliau menyenaraikan penjualan pelaburan Khazanah termasuk penjualan syarikat insurans Turki Acibadem Sigort; Axiata milik syarikat telco M1 kepada Singapura; saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan saham CIMB.
Dominic berkata, beliau memahami perasaan Abdul Muein disebabkan isu yang timbul dan mahu tahu adakah ‘seseorang’ memberi tekanan kepada UKM untuk melarang pensyarah daripada mengulas tentang isu-isu politik.
“Saya seorang profesor di universiti kerajaan 10 tahun lalu. Walaupun bekas kerajaan itu dituduh menindas kebebasan bersuara, ia tidak berlaku seperti ini.
Beliau mendesak Maszlee memenuhi janji dan mengambil tindakan segera untuk membebaskan ucapan pensyarah dan sekiranya kenyataan pensyarah itu tidak benar, Kementerian Kewangan boleh mengeluarkan kenyataan untuk menyangkalnya.
“Tetapi Kementerian Kewangan belum lagi memberi respon. Adakah ini bermakna kerajaan telah menjual aset bernilai RM20 bilion dalam 400 hari?
“Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mesti menjelaskan kepada rakyat tentang perkara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











