KUALA TERENGGANU – Pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajak semua parti politik Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memberi kesan terhadap kerjasama atau ta’awun antara Pas dan UMNO ketika ini.
Naib Presiden Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama kedua-dua parti teras Melayu dan Islam itu tetap berjalan seperti yang dirangka menerusi beberapa siri mesyuarat serta pertemuan yang dijayakan di peringkat kepemimpinan tertinggi mahu pun akar umbi.
“Kalau ada perkembangan baharu dari segi penyertaan kita akan bincang secara bersama, jadi tidak ada istilah Pas atau UMNO buat keputusan sendiri.
“Yang penting pada waktu ini adalah untuk memastikan keharmonian dalam masyarakat tidak terjejas. Manusia boleh mempunyai pelbagai pandangan dalam parti politik masing-masing tetapi akhirnya yang lebih mustahak ialah politik harmoni yang tidak memusnahkan termasuk jauh daripada fitnah dan adu domba,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penyediaan Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun Terengganu (2021-2030) di Dewan Auditorium, Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.
Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Dr. Mahathir baru-baru ini mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu berikutan keadaan parti politik masyarakat Melayu ketika ini
yang terbahagi kepada enam. – UTUSAN ONLINE











