Pelajar lelaki cedera ditumbuk, disepak rakan - Utusan Malaysia

Pelajar lelaki cedera ditumbuk, disepak rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sebuah sekolah menengah di sini cedera di bahagian kepala dan badan akibat menjadi mangsa buli di dalam kawasan sekolah itu petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa dipukul oleh seorang pelajar manakala beberapa lagi pelajar merakamkan kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di kawasan letak motosikal berhampiran bangunan asrama sekolah itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mangsa terlebih dahulu dipanggil ke lokasi kejadian oleh seorang rakannya memaklumkan bahawa seorang pelajar lelaki lain mahu meminta maaf daripadanya ekoran perselisihan faham antara mereka.

Bagaimanapun, mangsa telah diserang oleh pelajar yang didakwa ingin memohon maaf itu sehingga terjatuh sebelum ditumbuk di kepala bertubi-tubi manakala belakang badannya ditendang.

Berdasarkan rakaman video insiden itu yang tular dalam media sosial, pelajar lain yang menyaksikan kejadian tersebut bersorak dan meminta pelajar lelaki itu supaya memukul dan menyepak kepala mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Haslah Bachok ketika dihubungi pemberita hari ini mengesahkan polis menerima laporan kejadian itu malam tadi.

Menurut beliau, laporan polis berhubung insiden itu dibuat oleh mangsa yang ditemani oleh ibu bapanya di Balai Polis Seri Menanti pada pukul 10.52 malam.

Katanya, pihak polis akan memanggil beberapa pelajar sekolah itu bagi membantu siasatan.

“Setakat ini kami dapati cuma seorang pelajar memukul mangsa dan terdapat pelajar lain berada di tempat kejadian,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini