SHAH ALAM 2 Julai – Tindakan seorang pelajar tingkatan tiga melarikan diri dari rumahnya di Kuala Selangor hari ini didakwa berpunca akibat buli di sekolahnya.
Ibu pelajar terbabit, Mardiana Ismail, 58, berkata, hal buli itu diceritakan sendiri Ahmad Fitri Mohammad Shaffie, 15, Ahad lalu ketika dia menghantar anaknya ke asrama.
Menurut Mardiana, anak bongsunya itu memaklumkan kejadian buli tersebut telah lama berlaku tetapi selama ini dipendamkan sahaja olah Ahmad Fitri.
“Saya rasa sebab itu dia (Ahmad Fitri) enggan dihantar semula ke asrama Ahad lalu dengan memberikan pelbagai alasan sebelum menghilangkan diri awal pagi tadi.
“Saya juga sudah berjumpa dan memaklumkan kepada pihak sekolah Ahmad Fitri mengenai kehilangannya serta dakwaan buli itu dan mahu mereka menyiasat,” katanya ketika dihubungi di sini petang ini.
Terdahulu, Ahmad Fitri dilaporkan melarikan diri dengan dia sempat meninggalkan sekeping nota kepada ibunya dan kehilangan remaja berkenaan hanya disedari Mardiana kira-kira pukul 6.30 pagi.
Dalam pada itu, Mardiana yang pesara guru memberitahu dia lega apabila anak bongsunya itu sudah menghubungi sebentar tadi dan memaklumkan berada di Mydin USJ.
“Rasa amat bersyukur apabila Ahmad Fitri menghubungi saya dan laporan polis juga telah dilakukan di sebuah balai polis di kawasan situ bagi memaklumkan penemuannya sebelum dia bersama kakak dan abangnya kini dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Selangor,” katanya. – UTUSAN ONLINE











