KUALA LUMPUR – Seorang pekerja ladang terperanjat apabila terjumpa satu objek disyaki bom lama dalam kejadian di kebun sawit dekat Felda Gedangsa di Hulu Selangor, hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, lelaki berusia 27 tahun terbabit kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gedangsa.
“Sebaik sahaja menerima makluman berkenaan, kita menghantar pasukan Cawangan Persenjataan Ibu pejabat Kontinjen Selangor dan Daerah Hulu Selangor ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati objek tersebut sememangnya sebutir bom lama jenis Shell sepanjang 42 sentimeter dan berukur lilit 30 sentimeter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Bak Phai, proses pemusnahan bom tersebut dilaksanakan pada pukul 3 petang tanpa sebarang kerosakan harta benda awam. – UTUSAN ONLINE











