KUALA LUMPUR 9 Julai – Seorang pekerja kontrak yang sedang mengawal lalu lintas maut selepas dirempuh kenderaan dipandu wanita dipercayai dalam keadaan mabuk di Persiaran Perdana, Sri Damansara, dekat Petaling Jaya, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa, Saidi Dollah, 52, yang berasal dari Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, ketika kejadian mangsa sedang melakukan kawalan lalu lintas dengan memegang lampu baton di antara lorong kiri dan lorong tengah laluan tersebut.
“Mangsa bagaimanapun dirempuh kenderaan Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 42 tahun.
“Ujian pernafasan dibuat terhadap wanita tersebut didapati berada pada paras 201 miligram/100 mililiter yang mana melebihi kadar alkohol yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azman, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











