Pekema gesa kerajaan selesai tiga isu - Utusan Malaysia

Pekema gesa kerajaan selesai tiga isu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 3 Julai – Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menggesa kerajaan agar segera menyelesaikan tiga isu utama yang dihadapi oleh lebih 200 ahlinya untuk membolehkan mereka terus bertapak dalam industri di sebalik persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, tiga isu utama itu ialah sekatan terhadap kemasukan kereta import model tertentu, bayaran cukai atau levi RM10,000 untuk setiap permit import (AP) Terbuka dan lambakan AP.

Menurut Zainuddin, meskipun belum dimuktamad, namun isu sekatan terhadap kemasukan kereta import model tertentu telah dilaksanakan sehingga menyusahkan ahli-ahli Pekema yang terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada kereta sampai Pelabuhan Klang tak boleh dikeluarkan sebab katanya kereta ini tak boleh dibawa masuk kerana ada sekatan. Kalau daripada awal dibuat sekatan tak apa, ini masalahnya kereta sudah sampai baru dia buat sekatan, tak bolehlah begitu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Pekema di Wisma Yayasan Pekema di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pekema, Mohamad Shalan Hassan.

Zainuddin berkata, alasan kerajaan membuat sekatan itu adalah bagi melindungi industri kereta tempatan, namun kata beliau, model kereta dibawa masuk adalah kenderaan mewah yang tidak terdapat dalam pasaran tempatan justeru tidak timbul ia menggugat pasaran kereta tempatan Proton dan Perodua.

Mengenai masalah cukai atau levi, beliau meminta kerajaan meneliti perkara itu yang didakwanya tidak adil apabila hanya ahli-ahli Pekema yang memegang AP Terbuka dikenakan cukai berkenaan, sementara pemegang AP Francais dikecualikan.

“Kita bawa masuk kereta berpandukan warta kerajaan yang ada, kalau warta kata ini cukai dia, kita bawa masuk berpandukan cukai, kalau tidak kita pun tak bawa masuk kereta kalau tak ada cukai. Ini bila kereta dah masuk dia kata ini cukai baharu, keluar cukai baharu, jadi tak adillah,” katanya.

Menurut Zainuddin lagi, kerajaan juga perlu meneliti pemberian AP untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak bagi mengelak lambakan AP yang berlaku sekarang.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila permintaan Pekema untuk bertemu dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ignatius Darell Leiking untuk membincangkan isu-isu berbangikit sehingga kini tidak berjaya meskipun banyak surat permohonan telah dihantar kepada kementerian berkenaan.

Jelasnya, pertemuan itu penting bagi mencari penyelesaian kepada isu-isu berkenaan memandangkan ada ahli Pekema mencadangkan piket dan tindakan mahkamah diambil sekiranya masih tiada penyelesaian.

“Justeru Kita minta kerajaan ambil serius isu-isu ini kerana sumbangan Pekema kepada kerajaan dari segi cukai cukup besar, kita membayar cukai hampir RM3 bilion setahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini