LANGKAWI – Berikutan kebimbangan pelbagai pihak mengenai masalah dadah di Pulau Langkawi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak menggempur Pulau Langkawi sejak kelmarin, dan memberkas seramai 118 orang yang disyaki terlibat dalam jenayah itu.
Operasi besar-besaran melibatkan pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu, membuktikan bahawa masalah dadah di pulau peranginan tersebut semakin membarah apabila mereka yang ditangkap, termasuklah remaja seawal usia 13 tahun.
Polis turut mengesan sekurang-kurangnya tujuh kawasan di sekitar pulau peranginan tersebut yang dipercayai menjadi ‘port’ penyalahgunaan dadah membabitkan pelbagai latar belakang individu.
Antara lokasi tersebut termasuklah Bukit Malut, Pulau Tuba, Padang Matsirat, Taman Nilam, Kuah dan Kuala Teriang.
Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamaruzaman Mamat berkata, pihaknya turut mengesan modus operandi pengedar dan penyeludup yang menggunakan kawasan paya bakau di sekitar pulau itu untuk membawa masuk bahan terlarang terbabit.
Dalam operasi yang khas turut dibantu JSJN negeri dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, kata beliau, kesemua yang ditahan berusia 13 sehingga 49 tahun termasuk seorang wanita yang berumur 30-an.

“Mereka yang ditahan dalam operasi melibatkan 200 anggota itu terdiri daripada 110 warga tempatan, lima warga negara Thailand dan tiga warga Myanmar.
“Daripada jumlah itu, seramai 21 orang daripadanya merupakan pengedar dadah, manakala bakinya adalah penagih dan mereka yang memiliki bahan terlarang berkenaan.

“Kita juga merampas pelbagai jenis dadah iaitu heroin, methamphetamine, ganja, pil Eramin 5 yang keseluruhannya bernilai RM3,600,” katanya dalam sidang akhbar di Kampung Sungai Tepa, Bukit Malut, di sini hari ini.
Pada 23 Jun lalu, Mingguan Malaysia dalam temubual eksklusif bersama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador melaporkan, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti jika lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segera.
Menurut Abdul Hamid, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara peribadi turut menyuarakan kebimbangan ancaman dadah di Langkawi yang dilihat seolah-olah tidak terkawal.
Kamaruzaman seterusnya berkata, PDRM komited untuk membersihkan imej Pulau Langkawi yang terkenal sebagai pulau pelancongan daripada masalah penyalahgunaan dadah melalui operasi yang dijalankan dari semasa ke semasa.
“Kita sentiasa mengatur strategi dan mengadakan serbuan serta tangkapan dengan agensi-agensi lain bagi membanteras kegiatan ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











