SEREMBAN – Tunku Besar Tampin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri masih menaruh harapan agar skuad Rusa dapat melayakkan diri ke Liga Super, musim depan.
Katanya, Negeri Sembilan berbaki empat perlawanan lagi dalam Liga Perdana, musim ini iaitu menghadapi Sarawak, Johor Darul Ta’zaim II (JDT II), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta UiTM dan berharap memenangi kesemua perlawanan tersebut.
“Baki perlawanan ini penting untuk kami mengumpul seberapa banyak mata berharga. Oleh itu, saya minta setiap pemain supaya memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan kejayaan pasukan.
“Kami sebenarnya tidak meletakkan apa-apa sasaran pada awal musim. Sebagaimana yang saya kata sebelum ini, kami cuba membentuk sebuah pasukan yang mantap di bawah ketua jurulatih baharu Mohd Zan Mat Aris.
“Dengan pemain dan jurulatih yang baharu, kami tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, tetapi kami cuba untuk kembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri ini secara berperingkat-peringkat dan ini mengambil satu jangka masa yang panjang.
“Saya harap penyokong bersabar dan saya yakin skuad Rusa akan kembali gah satu hari nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri PNBS di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani; Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Naib Presiden FAM Joehari Mohd Ayub.
Setelah mengharungi 16 perlawanan dengan mengumpul 22 mata, Negeri Sembilan kini menduduki tempat keenam, dibelakang pasukan Sabah, JDT II, UiTM, T-Team FC dan Pulau Pinang.
Tunku Syed Razman berkata, walaupun skuad Rusa kini di tempat keenam, tetapi beliau yakin jurulatih dan pemain melakukan yang terbaik untuk memperbaiki kedudukan.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi skuad Rusa dan berharap prestasi pasukan boleh ditingkatkan lagi,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan musim depan skuad Rusa, beliau memberitahu, hala tuju pasukan ialah memperbaiki lagi prestasi dengan mendapatkan pemain yang berkualiti. – BERNAMA











