KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia ditutup rendah hari ini mengambil petunjuk daripada pasaran niaga hadapan serantau yang lemah selain penurunan harga minyak menjelang pusingan baharu rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kata peniaga.
Beliau bagaimanapun berkata, penurunan itu diimbangi oleh kebimbangan mengenai kedudukan bekalan yang rendah di negara pengeluar utama.
“Penanda aras kontrak getah di Tokyo Commodity Exchange (TOCOM) bagi penghantaran Disember merosot 1.1 peratus selepas mencatat keuntungan pada Isnin,” katanya di sini hari ini
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, aktiviti pengilangan AS menunjukkan ia menghampiri paras terendah dalam tempoh tiga tahun pada Jun ekoran peningkatan ketegangan perdagangan AS-China yang menjejaskan penerimaan tempahan baharu oleh kilang.
Katanya, harga minyak mentah juga susut hari ini ekoran kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi dunia mengatasi keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada Isnin untuk meneruskan pengurangan bekalan sehingga Mac 2020.
Pada pukul 12 tengah hari, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 merosot 5.5 sen kepada 599.50 sen sekilogram manakala lateks pukal susut enam sen kepada 491 sen sekilogram.
Harga tidak rasmi gred tayar SMR 20 pada penutupan meningkat 0.5 sen kepada 602.5 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 8.5 sen kepada 500 sen sekilogram. – BERNAMA











