KUALA LUMPUR 29 Julai – Pasaran getah Malaysia ditutup rendah hari ini mencerminkan trend penurunan pada harga minyak dan pasaran niaga hadapan getah serantau.
Menurut seorang peniaga, para pelabur mengambil langkah berwaspada di hadapan mesyuarat perdagangan Amerika Syarikat (AS) dengan China serta jangkaan penetapan kadar faedah AS pada minggu ini.
Harga minyak menyusut selepas Iran mengumumkan mesyuarat tergempar pihak-pihak yang terbabit dengan perjanjian nuklear Iran pada 2015 dengan kuasa-kuasa besar sebagai positif dan ia menggambarkan keredaan ketegangan di Timur Tengah.
Niaga hadapan minyak mentah Brent adalah 43 sen lebih rendah pada AS$62.94 (RM259.56) setong.
Pada pukul 12 tengah hari, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 jatuh 10.5 sen kepada 567.5 sen sekilogram dan lateks pukal susut 4.5 sen kepada 464.5 sekilogram.
Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 jatuh 8.5 sen kepada 567.0 sen sekilogram dan lateks pukal berkurangan sebanyak 4.0 sen kepada 464.0 sen sekilogram. – BERNAMA











