KUALA LUMPUR 10 Julai – Pasaran getah Malaysia ditutup rendah dalam pasaran lengang hari ini walaupun prestasi di pasaran niaga hadapan getah serantau lebih baik.
Peniaga berkata, penanda aras pasaran niaga hadapan getah Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) tinggi hari ini mengakhiri penurunan enam sesi berturut-turut berikutan pelabur mencari tawaran murah.
Thailand dilaporkan menyasarkan untuk meningkatkan penggunaan getah domestik untuk menaikkan harga komoditi itu antara lain meningkatkan penggunaannya dalam pembinaan jalan raya.
Pada pukul 12 tengah hari, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 0.5 sen kepada 577.0 sen sekilogram dan susu getah pukal merosot satu sen kepada 476.5 sen sekilogram.
Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 turun 9.5 sen kepada 576.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal berkurangan 2.5 sen kepada 477.5 sen sekilogram. – BERNAMA











