KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil kira risiko dan isu keselamatan yang mungkin timbul dalam proses pelaksanaan teknologi generasi kelima (5G) di Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas 5G Negara, Agensi Keselamatan Siber Negara dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia-penyedia rangkaian sedang mengenal pasti risiko teknologi tersebut.
“Langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan risiko keselamatan sekiranya ada, turut sedang dikaji…isu keselamatan sememangnya menjadi keutamaan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) mengenai apakah yang telah dilakukan setakat ini dengan teknologi 5G dan adakah negara mempunyai kepakaran melaksanakannya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai kebimbangan impak buruk radiasi 5G terhadap alam sekitar dan kesihatan, Gobind berkata, ia dijangka diketahui selepas laporan projek rintis enam bulan disiapkan. – Bernama











