KUALA LUMPUR – Hanya sehari selepas memperoleh tiket pertama Sukan Olimpik 2020 dengan memenangi pingat perak 10 meter platform seirama wanita, Pandelela Rinong meneruskan kecemerlangan dengan meraih slot kedua ke temasya Tokyo hari ini.
Kejayaan melayakkan diri ke saingan akhir acara 10m platform individu dalam Kejohanan Terjun Dunia Di Gwangju, Korea Selatan sudah memadai buat penerjun kelahiran Sarawak itu untuk menempatkan diri ke Olimpik 2020.
Pandelela, 26, yang meraih gangsa acara tersebut dalam Sukan Olimpik 2012 di London menempatkan diri selaku penerjun kesembilan terbaik daripada 18 peserta keseluruhan dengan mengumpul 312.70 mata.
Kesemua 12 penerjun yang berjaya ke final acara 10m platform individu meraih tiket automatik untuk beraksi di Tokyo tahun depan.
Saingan akhir akan berlangsung esok, yang mana penerjun China, Chen Yuxi sekali lagi menjadi tumpuan utama selepas mengungguli saingan kelayakan dengan mencatat mata tertinggi 407.95 mata.
Rakan senegaranya, Lu Wei (370.85) di tempat kedua dan peserta Kanada, Caeli McKay (356.70) di tangga ketiga.
Pandelela meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform individu pada edisi 2015 di Kazan, Rusia dan berharap untuk menamatkan saingan di atas podium esok.
Membuat penampilan sulung dalam Sukan Olimpik di Beijing 2008, ratu terjun negara itu turut menghadiahkan pingat perak buat Malaysia dalam temasya Rio 2016 dalam 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoon. – UTUSAN ONLINE











