KUALA LUMPUR – Pasangan atlet terjun negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee muncul wakil pertama daripada sukan berkenaan mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo menerusi acara 10 meter (m) platform seirama selepas meraih pingat perak sewaktu Kejohanan Terjun Dunia di Korea Selatan, hari ini.
Ini bermakna peluang Malaysia memburu pingat di Tokyo dalam sukan terjun makin cerah menerusi pasangan berkenaan yang meraih pencapaian terbaik buat atlet terjun negara dalam acara 10m platform seirama Kejohanan Terjun Dunia.
Dalam saingan akhir di Korea Selatan, hari ini pasangan berkenaan menamatkan aksi di tempat kedua selepas mengumpul 312.72 mata kurang 32.52 mata di belakang pemenang pingat emas, pasangan dari China, Lu Wei-Zhang Jiaqi.
Pingat gangsa dimenangi pasangan dari Amerika Syarikat, Samantha Bromberg-Katrina Young yang sekadar mengumpul 304.86 mata.
Keputusan hari ini merupakan peningkatan bagi Pandalela dan Mun Yee, selepas pasangan tersebut memenangi gangsa pada acara yang sama pada 2009 di Rom dan 2013 di Barcelona.
Berdasarkan rekod, Pandalela juga menang pingat gangsa dalam acara terjun 10m platform individu pada tahun 2015 di Kazan dan juga terjun 10m platform berirama bersama Cheong Jun Hoong pada tahun 2017 di Budapest.
Kejohanan Terjun Dunia di Korea Selatan 2019 menawarkan tiga tiket automatik ke Tokyo bagi setiap pemenang pingat emas, perak dan gangsa dalam acara 10m platform seirama. – UTUSAN ONLINE











