Pahang naib juara Liga Super - Utusan Malaysia

Pahang naib juara Liga Super

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN pasukan Pahang menamatkan saingan Liga Super 2019 di tangga kedua menjadi tonik terbaik bagi persiapan skuad Tok Gajah mengharungi saingan Piala Malaysia yang akan bermula bulan depan.

Biarpun berbaki satu perlawanan, skuad kendalian Dollah Salleh sudah mengesahkan menjadi naib juara apabila mengutip tiga mata ketika menewaskan Felda United 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.

Dollah berkata, kejayaan itu sedikit sebanyak mengubat duka pasukannya yang gagal melangkah ke final Piala FA setelah tewas kepada Perak dengan agregat 4-3.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, kemenangan ini secara tidak langsung membangkitkan semangat baharu kepada skuad Tok Gajah untuk tampil lebih baik pada saingan Piala Malaysia 2019.

“Masih banyak kelemahan yang perlu kita perbaiki kerana saingan Piala Malaysia pasti lebih hebat,” katanya selepas tamat perlawanan.

Menurut Dollah, beliau sangat gembira apabila ketiga-tiga gol dijaringkan oleh pemain import yang menjadi nadi penggerak skuad Tok Gajah musim ini.

“Lazarus Kiambi dan Dickson Nwakaeme kembali menemui sentuhan gol setelah masing-masing meledakkan satu jaringan malam ini,” ujarnya.

Beliau menambah, Herold Goulun sekali lagi menjadi pemusnah apabila turut mencetak nama sebagai penjaring pada perlawanan tersebut.

“Kejayaan itu juga merupakan hadiah untuk penyokong setia Tok Gajah dan kami harap mereka kembali memenuhi ruang di stadium setiap kali Pahang beraksi,” jelasnya.

Perlawanan kelmarin menyaksikan Kiambi meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-14 sebelum pelawat menyamakan kedudukan 1-1 menerusi S. Chanturu pada minit ke-25.

Goulun menceriakan penyokong Pahang apabila menanduk masuk hantaran Faisal Abd. Halim pada minit ke-71 dan Nwakaeme melengkapkan malam gemilang Tok Gajah selepas meledakkan gol ketiga pada minit ke-87.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini