MOSCOW – Seorang lelaki diselamatkan oleh orang awam selepas dia terjatuh ke dalam lopak tar toksik dalam kejadian di barat Rusia.
Mangsa yang berusia 33 tahun dan tidak didedahkan identitinya itu sedang berjalan melintasi sebuah loji asfalt sebelum dia tergelincir dan jatuh ke dalam cecair hitam pekat itu.
Selepas gagal melepaskan diri daripada cecair yang melekit, mangsa menjerit untuk meminta bantuan.
Jeritannya didengari oleh orang ramai yang lalu-lalang. Mereka bergegas ke tempat kejadian dan menariknya keluar dari lopak tar berkenaan. Seluruh badannya dilitupi tar berwarna hitam dan dia kelihatan seperti orang minyak dalam mitos Nusantara.
Seorang daripada mereka kemudian menghubungi ambulans, manakala mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan di bandar Pavlovsk, dalam wilayah Voronezh Oblast.
Petugas-petugas perubatan terpaksa menggunakan pencukur untuk membuang tar daripada kulit lelaki berkenaan dan mengambil masa beberapa jam untuk membersihkannya.
Seorang doktor berkata, nyawanya tidak berada dalam bahaya dan dia sudah boleh berjalan seperti biasa.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan berjanji membersihkan kawasan tersebut susulan insiden berkenaan. – Agensi











