KOTA KINABALU 28 Julai – Polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 6.87 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM930,883.50 dalam Op Sarang di sekitar bandar raya ini.
Dalam operasi bemula 20 Julai lalu, antara dadah dirampas adalah 5.95 kg syabu, ganja (0.33 kg), ketamin (0.74kg) dan pil eramin 5 seberat 0.14 kg.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya turut menahan sebanyak 74 individu termasuk 13 warga asing berusia antara 15 hingga 56 tahun di bawah Akta Dadah Berbahaya.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak lima individu ditahan atas kesalahan membekal dan pengedaran dadah manakala 14 lagi atas kesalahan memiliki dadah.
“Selain itu, 55 individu didapati positif dadah. Ini termasuk tiga pelajar sekolah menengah dan masing-masing seorang pelajar kolej swasta serta penjawat awam,” katanya dalam kenyataan polis hari ini.
Habibi berkata, polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah terutama dalam kalangan belia dan remaja di sekitar Kota Kinabalu bagi memelihara kesejahteraan serta ketenteraman masyarakat setempat.
Tambahnya, orang ramai diminta memberi kerjasama menyalurkan maklumat ke Ibu pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529 220 atau menerusi media sosial Facebook IPD Kota Kinabalu dalam usaha membanteras gejala dadah.- BERNAMA











