SHAH ALAM – Nurul Azurin Mazlan muncul wira Melaka apabila menafikan tiga tendangan penalti Kedah untuk membantu pasukannya muncul juara kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2019 buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun di Stadium Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Shah Alam, sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas tamat 120 minit permainan untuk memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol Melaka, Nurul Azurin menunjukkan ketenangan sepanjang perlawanan bagi memastikan pasukannya melakar kemenangan sensasi 3-1.
Kemenangan itu juga menyaksikan dendam Melaka berjaya dilunaskan selepas mereka dikecewakan Kedah tahun lalu dalam perlawanan akhir.
Dalam aksi final itu, Melaka mempunyai dua peluang terbaik pada babak kedua menerusi rembatan penjaring terbanyak pasukan, Dadree Rofinus namun sepakan pemain tengah itu berjaya ditepis penjaga gol Kedah, Dhiya Fatihah Ahmad Razali pada minit ke-77.
Peluang kedua Melaka hadir pada minit ke-78, namun tandukan penyerangnya, Haindee Mosroh sekadar menggegar palang meskipun Dhiya telah tertewas.
Kali terakhir Melaka muncul juara adalah pada 1980 ketika berkongsi trofi bersama Singapura.
Sementara itu, PDRM meraih tempat ketiga selepas menundukkan Selangor 3-2 pada sebelah pagi. – UTUSAN ONLINE











