KUALA LUMPUR 15 Julai – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berpendapat bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat mempunyai populariti yang lebih besar berbanding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Guan Eng menerusi kenyataan ringkas dalam laman Facebook rasminya pada 10 Julai lalu berkata, meskipun Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berpandangan yang Najib lebih popular berbanding Allahyarham Nik Aziz, beliau tidak bersetuju dengan perkara tersebut.
“Sungguhpun anak kandung (Nik Abduh) keluarkan kenyataan begini, saya tidak bersetuju.
Saya yakin (populariti) pemimpin tersohor, Nik Aziz mengatasi (populariti) penyangak bila-bila masa,” katanya di sini.
Sebelum ini, Nik Abduh dalam majlis Ceramah Perpaduan Ummah anjuran UMO dan PAS Ayer Hitam berkata, populariti Najib telah mengatasi populariti ayahnya, Allahyarham Nik Aziz sehingga menimbulkan kehairanan kepada beliau.
Malah, Nik Abduh turut berpandangan yang Najib telah ‘mengambil tempat’ yang ditinggalkan Allahyarham Nik Aziz selepas bapanya itu meninggal dunia.
“Mana dia pergi, kalah ayah saya. Orang berebut cari dia (Najib) mahu selfie. (Ini) kepelikan yang Allah Taala buat,” kata Nik Abduh. – UTUSAN ONLINE











