Netizen jangan jadikan isu sampah halangan laksana pasar terapung - Utusan Malaysia

Netizen jangan jadikan isu sampah halangan laksana pasar terapung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Kalangan netizen dinasihatkan bertenang dan tidak menjadikan isu sampah sebagai halangan utama untuk kerajaan negeri memperkenalkan suatu lagi produk pelancongan terbaharu, pasar terapung yang dijangka direalisasikan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya memahami kebimbangan netizen berikutan kejadian lambakan sampah di lokasi tumpuan pengunjung di bandar raya ini sepanjang Ramadan lalu yang secara tidak langsung mengundang kemarahan ramai hingga tular di media sosial.

Namun, katanya, jika netizen berterusan berfikiran negatif sedemikian tentunya segala projek pembangunan yang dicetuskan kerajaan negeri sukar untuk dilaksanakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau netizen bersikap negatif, semua benda kita tidak boleh buat. Tujuan kita mewujudkan imej pasar terapung itu adalah untuk tarikan pelancongan bersekali dengan pakej kewujudan drawbridge.

“Kita lihat dahulu sambutan pasar terapung bagaimana dan mengenai isu sampah atau lain-lain perkara kita akan tangani bersama-sama bertepatan dengan slogan negeri cantik, budaya menarik, orangnya baik-baik di samping slogan tambahan iaitu menjaga kebersihan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hotel Rest & Comfort di Panji Curve Business Park di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengerusi Hotel Rest & Comfort, Datuk Roslan Awang Chik.

Isu sampah yang ditinggalkan pengunjung di sekitar Pesisir Payang dan Taman Shahbandar di sini hangat dibincangkan netizen sepanjang Ramadan lalu hingga tular di laman Facebook.

Keadaan itu berlarutan apabila keadaan sama turut dilihat ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar di sini pada 17 Jun lalu.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, pelaksanaan pasar terapung itu masih dalam peringkat kajian yang menyentuh pelbagai perkara untuk diperincikan.

Beliau memberitahu, kajian turut merangkumi konsep pasar terapung sebagaimana terdapat di kebanyakan negara antaranya di Bandung, Indonesia selain Hatyai serta Bangkok di Thailand. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini