PULAU PINANG 17 Julai – Para nelayan melahirkan rasa kecewa dengan pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang seolah-olah menggambarkan mereka bersetuju dengan projek tambak laut di perairan selatan (PSR) negeri ini sekiranya diberikan pampasan setimpal.
Sedangkan, menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara), Nazri Ahmad, para nelayan di negeri ini sebulat suara dan teguh dengan pendirian menolak projek tersebut.
Malah, kata beliau, para nelayan juga tidak berminat dengan soal pampasan yang disifatkan tidak berbaloi secara jangka masa panjang seperti nasib yang menimpa nelayan di Tanjung Tokong di sini selepas kawasan laut di situ ditambak sebelum ini.
Sebaliknya, tegas Nazri, para nelayan mahu kerajaan negeri menerima cadangan mereka menerusi Pelan Transformasi Nelayan yang sudah diserahkan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sekiranya bantahan mereka tidak mampu menghalang projek itu daripada diteruskan.
“Saya boleh katakan semua nelayan di negeri ini tidak bersetuju dengan projek tambak lau itu kerana akan memusnahkan sumber ikan sekali gus mata pencarian dan rezeki kami.
“Sebab itu kami turun berarak ke Parlimen baru-baru ini bagi menunjukkan kesungguhan kami menolak cadangan tambak laut ini sepenuhnya, bukannya mendesak mahu diberi pampasan,” katanya.
Beliau mengulas mengenai beberapa laporan yang diterbitkan beberapa pihak termasuk portal berita yang menggambar para nelayan di negeri ini bersetuju dengan projek tambakan seluas 1,800 hektar kawasan laut itu sekiranya mendapat pampasan setimpal.
Nazri ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama para nelayan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Batu Maung, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nazri berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri turut melibatkan persatuan nelayan dalam pertemuan khas yang diadakan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diadakan kelak.
Ini kerana, menurut beliau, wakil nelayan sebelum ini tidak pernah dilibatkan dalam sebarang pertemuan atau rundingan rasmi berhubung rancangan projek itu termasuk dalam soal kelulusan laporan impak alam sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Sebab itu kita terkilan apabila JAS meluluskan laporan EIA projek ini tanpa memanggil para nelayan seolah-olah kewujudan kami tidak penting dan rancangan ini langsung tidak melibatkan masa depan kami,” katanya.
Kon Yeow kelmarin mengumumkan kerajaan negeri akan mengatur pertemuan khas dengan Anwar bagi menerangkan mengenai rancangan projek itu susulan pertemuan Anwar dengan lebih 200 nelayan di Teluk Kumbar di sini minggu lalu. – UTUSAN ONLINE











