KUALA LUMPUR – Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas hilang dalam kejadian angin kencang di perairan Kuala Pantai Emas di Kota Belud, Sabah hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Sapuan Saiman, 60, dikatakan bersama dua lagi rakannya menaiki bot masing-masing untuk memukat ikan.
Memetik laporan Portal Utusan Borneo memberitahu, kejadian ombak besar dan angin kencang yang datang secara tiba-tiba menyebabkan ketiga-tiga nelayan terbabit terpaksa berpatah balik ke jeti Kampung Pantai Emas dekat sini.
Bagaimanapun, mangsa didapati gagal kembali walaupun empat jam kejadian itu berlaku.
“Ahli keluarga mangsa kemudiannya dimaklumkan mengenai kejadian itu sebelum mereka menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan,” kata Portal itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi portal berkenaan mengesahkan mengenai kejadian.
“Maklumat yang kita terima setakat ini, hanya bot mangsa ditemukan oleh anaknya di perairan Tubu-Tubu Nanamun kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, manakala peralatan menangkap ikan yang dibawanya hilang.
“Selain itu, ahli keluarganya juga memaklumkan mangsa tidak menyediakan jaket keselamatan atau pelampung ketika keluar ke laut,” katanya.
Tambah Mohd Zaidi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan bagi mengesannya.
“SAR akan dijalankan membabitkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin (PPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











