KUALA LUMPUR 9 Julai – Kajian sedang dilakukan untuk meminda dua undang-undang di bawah Jabatan Perikanan dan Jabatan Imigresen bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada nelayan-nelayan asing yang menceroboh perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian pindaan undang-undang itu dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-Undang serta Jawatankuasa Dasar dan Perundangan serta akan dibentangkan di Parlimen.
Selain itu, katanya, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk menambah aset berupa kapal-kapal yang lebih besar untuk pergi ke laut dalam bagi mengesan kes-kes dengan lebih meluas.
“Kita menyedari bahawa tindakan-tindakan yang diambil setakat ini berkesan juga, ada peningkatan kes dan ada juga penurunan sebelum operasi dijalankan. Sekarang mereka (nelayan-nelayan asing) sudah berpindah ke Sabah dan Sarawak, ini satu perkara yang kita ambil kira.
“Keduanya, bagi menambah aset-aset yang lebih besar, yang boleh pergi ke laut dalam. Sekarang, kita terpaksa bekerjasama dengan pihak tentera laut. Mereka punyai kapal-kapal yg lebih besar. Dengan cara begitu, kita dapat mengesan kes kes ini dengan lebih meluas,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menterin dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai langkah kerajaan yang sewajarnya mengambil tindakan lebih agresif terhadap nelayan-nelayan
asing yang menceroboh di perairan negara. – UTUSAN ONLINE











