TEMERLOH 15 Julai – Sehingga kini, kra-kira 98 metrik tan nangka yang ditanam di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang di sini berjaya dieksport ke kota London.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, hasil nangka dari ladang seorang usahawan TKPM itu mula dieksport ke London pada 2017.
“Saya berasa bangga kerana satu lagi produk pertanian dari bumi Pahang berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Penduduk London sekarang sudah boleh menikmati nangka segar dari Lanchang.
“Dengan jaringan pemasaran yang diwujudkan ‘Lanchang to London’, diharapkan ladang-ladang lain merebut peluang bersama menghantar nangka ke luar negara selain pasaran domestik,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran ‘From Lanchang to London’ di ladang nangka Dimensi Sejahtera TKPM Lanchang di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengarah Pertanian negeri, Datuk Zahimi Hassan dan Pengusaha Ladang Dimensi Sejahtera, Yusoff Bunyamin.
Ladang Dimensi Sejahtera seluas 40 hektar dan mempunyai 5,000 pokok nangka mula diusahakan pada 2008.
Pada masa ini, terdapat 46 usahawan dan 40 buah syarikat mengusahakan tanah di TKPM Lanchang. – UTUSAN ONLINE











