Nam Ron mahu RM3 juta - Utusan Malaysia

Nam Ron mahu RM3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON dan pengarah Shahili Abdan atau nama tersohornya Nam Ron mahu RM3 juta untuk mendedahkan kisah seorang ‘petualang’ yang juga seorang ahli politik gangster berasal dari utara.

“Buat waktu ini seorang kawan lama produser Loona Tee warga Malaysia yang menetap di Amsterdam memberitahu dia akan cuba mendapatkan dana sebanyak RM1.5 juta untuk saya memulakannya.

“Selebihnya saya menantikan siapa yang berminat untuk ‘melabur’ sama. Sepatutnya saya sudah melakukannya lebih 10 tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun hanya setelah saya selesai dengan pembikinan filem Crossroad: One Two Jaga (COTJ), saya mendapat ‘ilham’ untuk meneruskan usaha ini,” kata Nam Ron kepada Pancaindera, Khamis lalu di pejabat Media House Entertaiment (MHE), Kuala Lumpur.

Tahun lalu, Nam Ron mengheret ‘isu rasuah’ dalam Polis Diraja Malaysia melalui filem COTJ walaupun ada babak dalam filem tersebut ‘dibantah’ pihak tertentu.

‘Buah tangan’ Namron itu kemudian diumumkan sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia 2018 dan dia turut menggondol anugerah Pengarah Terbaik.

“Apa yang saya nak dedahkan kali ini tak ada kena mengena dengan mana-mana ahli politik kerajaan mahupun pembangkang di negara hari ini.

“Namun ia akan digarap seakan sebuah kisah benar. Nilai mesejnya wajar direnungi semua. Kalau bermula dengan wang haram dan menggunakan pengaruh salah apatah lagi sokongan samseng, akan mengundang banyak masalah kemudian hari,” tegasnya.

Nam Ron bercerita tentang Mat Deris Kuala Perlis, filem terbaharu mengenai seorang ahli politik samseng.

“Ikutkan skrip asalnya telah saya siapkan pada 2003 untuk pementasan teater. Setelah teater itu mendapat sambutan, Loona Tee meminta saya membawa naskhah ini ke filem. Memikirkan ke layar perak, saya menggubah skrip itu terutama pada bahagian tertentu termasuk penghujungnya.

“Tak tahulah apa sebabnya, dari tahun ke tahun saya gagal menemui penyudahnya. Hanya setelah selesai pembikinan COTJ, barulah saya mendapat ilham yang dicari-cari selama ini sebagai pengakhirannya.

“Ini skrip filem yang paling lama saya kena siapkan. Bayangkan dari 2004 sampailah ke 2017.

“Setakat hari ini, saya mahu menemukan pelakon- pelakon dari Indonesia, Filipina dan Thailand bersama pelakon tempatan.

“Setelah kejayaan COTJ saya berharap perkara yang sama akan berlaku untuk Mat Deris Kuala Perlis iaitu mendapat tayangan di merata dunia.

“Untuk Mat Deris Kuala Perlis saya mahu mengangkat sebuah filem genre aksi,” ujar Nam Ron yang mahu membuktikan kita mampu membikin filem aksi setanding yang lain dari luar negara.

Terdahulu, sebelum memikirkan projek terkini, Nam Ron selesai mengarah filem berjudul Masterpeace Cisan sekitar tahun lalu.

“ Filem itu sudah selesai di lokasi dan kini dalam kendalian Skop Production itu untuk proses penyuntingan dan sebagainya. Tentang judulnya, terpulang kepada pihak mereka untuk mengekalkan mengikut skrip saya atau sebaliknya,” kata Nam Ron.

Masih beraksi

Nam ron mahu terus berlakon walaupun ada yang menyangka lelaki ini lebih selesa bergelar pengarah.

“Kalau tak sibuk sebagai pengarah, saya akan terus beraksi di depan kamera sebagai pelakon. Sudah beberapa buah filem lakonan saya dengan produksi lain bakal ditayangkan akhir tahun ini dan awal tahun depan.

“Pada November atau Disember dijadualkan tayangan filem seram berjudul Roh (terbitan Kuman Pictures).

“Melalui filem ini isteri saya turut berlakon sama setelah kami berdua pernah beraksi dalam Redha beberapa tahun lalu,” katanya.

Junainah Lojong telah meraih anugerah Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia 2017 melalui filem Redha yang juga filem pertamanya.

“Filem lain lakonan saya dengan produksi berlainan akan menanti giliran masuk pawagam adalah Revenge Of The Puntianak dan Suatu Ketika.

“Selain layar perak saya juga menjayakan telemovie Poster Wayang Terakhir arahan Sabri Yunus. Isteri saya turut menjayakannya,” cerita Nam Ron lagi.

Nam Ron, 50, bapa kepada tiga orang anak ( Demi Kaseh, 13, Cahaya Chinta, 8 dan Yang Suci, 3) bahagia berkahwin dengan Junainah Lojong, 41, pada 21 Ogos 2004.

Rahsia rumah tangga mereka kukuh bahagia kerana amalan saling menghormati, memahami dan mengeratkan hubungan suami isteri seolah-olah semalam baru bercinta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini