Najwa fokus kerjaya - Utusan Malaysia

Najwa fokus kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN mimpi jadi realiti. Itulah saat indah bagi gadis kecil molek, Najwa Marsaid, 25, apabila impiannya untuk menjadi penyampai radio terlaksana.

Ibarat bulan jatuh ke riba, sebaik sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media di sebuah universiti awam, dia diterima menjadi kru di stesen radio Johor.

Bermula dari itu, anak kelahiran Kota Tinggi itu menggali sedikit demi sedikit ilmu berkenaan penyiaran radio sehingga berjaya mencapai cita-cita yang diidamkannya.

Memuatkan artikel berkaitan…
Najwa Marsaid

“Pada mulanya saya hanya jadi kru, tetapi tujuh bulan selepas itu ditawarkan menjadi penyampai radio pada hujung minggu sehingga kini.

“Ada masanya akan menggantikan penyampai yang bercuti. Saya memang menyimpan minat untuk menjadi penyampai radio sejak masih belajar, namun tidak menyangka menjadi kenyataan dalam masa yang singkat,” katanya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Justeru, Najwa bertekad tidak mensia-siakan peluang tersebut dengan terus memperbaiki diri bagi menjadi seorang penyampai radio berkredibiliti dan berkualiti untuk menghiburkan pendengar.

Menjadikan penyampai radio senior sebagai idola, Najwa tidak pernah malu untuk belajar dan bertanya soalan kepada penyampai lebih berpengalaman untuk meningkatkan kemahiran komunikasinya agar dapat menarik perhatian pendengar.

“Untuk menjadi penyampai radio yang baik, saya sentiasa belajar daripada senior. Dengar cara mereka bercakap ketika bersiaran dan ambil perhatian perkara penting yang perlu diperkatakan.

“Ketika bersiaran kita tidak perlu bercakap terlalu panjang dan meleret. Mulanya, saya akan taip apa yang saya perlu cakap supaya tidak tersasul dan lari daripada tajuk dibualkan,” ujarnya.

Mengakui cabaran menjadi seorang penyampai radio bukan mudah terutama melibatkan komitmen masa, dia tidak pernah menjadikan itu sebagai satu halangan bagi melebarkan sayap dalam bidang penyiaran radio.

“Cabaran utama adalah pengorbanan masa. Bila sudah masuk bidang ini masa akan terikat dengan jadual ke udara. Musim perayaan juga selalunya tidak boleh bercuti lama.

“Tapi saya mahu menggunakan peluang ini sebaik mungkin sebab saya tahu tidak semua orang dapat peluang kerja dalam bidang yang dipelajari,” tambahnya yang bercita-cita mahu menjadi penyampai radio dikenali dengan bakat dan menjadi rujukan generasi pelapis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini