KUALA LUMPUR 10 Julai – Pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) boleh memberi nilai tambah kepada gabungan itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, bekas Perdana Menteri itu mempunyai pengalaman yang luas dan beliau percaya Najib boleh membawa perubahan dalam BN.
“Kita mengalu-alukan kedatangan semula Datuk Seri Najib. Dengan pengalaman beliau sebagai bekas Presiden UMNO, bekas Perdana Menteri, banyak pengalaman dia. Saya percaya ia mampu bawa perubahan yang besar kepada BN.
“Bagi kita sesiapa saja yang ingin beri sumbangan kepada parti kita terima dengan terbuka,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Najib dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN oleh Dewan Tertinggi BN semalam.
Menurut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Najib akan menjalankan tugas membantu BN dalam usaha untuk mengembalikan semula sokongan rakyat kepada gabungan itu. – UTUSAN ONLINE











