KUALA LUMPUR 14 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengkritik secara terbuka pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).
Najib dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi Facebooknya memberitahu bersedia menyerahkan jawatannya itu kepada Mohamed Nazri jika itu adalah kehendaknya.
Beliau berkata, Mohamed Nazri perlu mendapat persetujuan daripada semua parti komponen termasuk MCA dan MIC.
“Kalau dia mahu, dia boleh gantikan tempat saya sebagai penasihat BN. Tetapi dia perlulah mainkan peranan sebagai seorang ahli parlimen pembangkang,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut menyatakan bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu perlu menjadi seorang pembangkang yang proaktif serta kritikal terhadap kerajaan.
“Tanggungjawab pemimpin parti pembangkang bukan hanya untuk membangkang pihak pembangkang sahaja.
“Sekali-sekala pun perlu kritik kerajaan. Perlu ada semangat perjuangan untuk melawan kerajaan PH dengan konsisten,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











