LONDON – Andy Murray dan Serena Williams bakal bergandingan dalam acara beregu campuran di Wimbledon, umum pihak pengurusan bintang tenis Britain itu, hari ini.
Murray, yang secara perlahan-lahan berusaha untuk kembali ke kancah sukan tenis selepas menjalani pembedahan di bahagian pinggulnya, akan berpasangan dengan Serena apabila undian diumumkan, hari ini.
Pemain Scotland itu sudahpun memulakan aksinya dalam saingan beregu lelaki di Wimbledon di mana dia bermain di samping Pierre-Hugues Herbert dari Perancis. Gandingan antara dua pemenang Wimbledon dengan juara tujuh kali, Serena bakal menjadikan mereka pasangan pilihan untuk merangkul gelaran.
“Kami ada banyak persamaan ketika beraksi dalam gelanggang. Saya sememangnya menyukai dia. Etika dia bekerja cukup saya kagumi. Itulah kelebihannya yang saya sangat gemari tentang Murray. Begitu juga dengan tahap kecergasan dan sebagainya.
“Melakukan apa yang dia buat di dalam era di mana begitu ramai pemain handalan lelaki, tidak ramai yang mampu bertahan. Dia antara salah seorang pemain yang berjaya melakukannya. Pendiriannya tentang wanita juga amat saya kagumi,” kata Serena.
Murray sememangnya telah lama mencari pasangan untuk beregu campuran dan telah menolak beberapa pemain wanita yang dicadangkan kepadanya.
“Saya memang mahu bermain. Kami ada berunding dengan beberapa pemain. Perancangannya memang untuk beraksi,” ujar Murray.
Sementara itu, Maria Sharapova dan Garbine Muguruza tersingkir seawal pusingan pertama dalam aksi perseorangan wanita Wimbledon, semalam. Sharapova memberi kemenangan kepada Pauline Parmentier 6-4, 6-7 (4/7), 0-5 akibat kecederaan, manakala Muguruza tunduk kepada pemain Brazil, Beatriz Haddad Maia 4-6, 4-6. – AFP











