WASHINGTON – Juara tiga kali Grand Slam, Andy Murray mengesahkan dia semakin hampir untuk kembali beraksi dalam acara perseorangan kemungkinan besar dalam tempoh dua minggu lagi.
Pemain Britain itu menjangkakan Terbuka Cincinnati akan menjadi kejohanan pertamanya untuk membuat penampilan dalam acara yang telah menjulang namanya sehingga digelar ‘Big Four’ sebelum ini.
Murray, 32, pernah hampir berputus asa sehingga mahu terus bersara selepas pembedahan di bahagian kiri punggungnya pada Januari lalu tidak menunjukkan sebarang tanda dia mampu pulih seperti biasa.
Bagaimanapun percubaannya kembali ke gelanggang bulan lalu memberi sinar baharu apabila kecederaan yang dialaminya itu memberi respon baik ketika beraksi dalam acara beregu.
“Jika diambil kira pergerakan, perasaan dan respon keesokan harinya, saya rasa cukup baik. Kini saya semakin hampir tetapi ada beberapa perkara lain yang memerlukan untuk saya menjadi lebih baik,” katanya.
Murray yang akan berpasangan dengan adiknya, Jamie dalam acara beregu di Terbuka Washington di sini mengakui, dia tidak merasai lagi sebarang kesakitan di bahagian pangkal paha dan akan mula berlatih perseorangan minggu ini. – AFP











