KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil tindakan tegas menutup tujuh premis perniagaan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di sekitar Serdang Jaya, semalam.
MPSJ dalam kenyataan di sini hari ini berkata, operasi itu bertujuan mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang melakukan kesalahan dengan menjalankan perniagaan tanpa lesen, menambah struktur haram dan premis diusahakan oleh warga asing.
Katanya, daripada keseluruhan pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 14 premis telah diambil tindakan.
“Tujuh premis telah diambil tindakan penutupan kerana tidak berlesen serta melanggar syarat lesen (menggajikan pekerja warga asing) di bawah Akta UUK: UUK 62 (1) (b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPSJ) 2007.
“Daripada jumlah ini, lima premis merupakan kedai makan manakala dua premis lagi adalah kedai runcit,” katanya.
MPSJ berkata, bagi kesalahan tambahan bangunan yang didirikan tanpa kebenaran pula, pihaknya menyerahkan 10 Notis Mengosong Dan Meruntuhkan Bangunan kepada enam premis makanan, tiga premis kedai runcit dan satu premis kedai gunting rambut.
“Sehubungan itu, pemilik premis diberi tempoh 30 hari untuk mengambil tindakan mengosongkan bangunan tersebut, memindahkan apa-apa harta alih yang terdapat di dalam bangunan atau meruntuhkan bahagian tersebut.
“Di bawah klausa tersebut sekiranya pemilik premis gagal mematuhi arahan selepas tamat tempoh yang dinyatakan, MPSJ akan mengambil tindakan meruntuh menurut Seksyen 72 (6), Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan (1974) yang mana kos tersebut perlu ditanggung oleh pemilik premis berkenaan,” katanya.
Dalam operasi itu juga, MPSJ berkata, pihaknya turut mengeluarkan lima Notis Amaran kepada penjaja di tepi Jalan 5/6 Serdang Jaya di bawah Seksyen 46 (1) (a) Akta 133 Akta Jalan, Parit dan Bangunan kerana kesalahan menyelenggara gerai di tempat awam tanpa kebenaran.
Operasi itu diketuai oleh Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali dengan kekuatan seramai 30 orang anggota. – UTUSAN ONLINE











