KUALA LUMPUR 18 Julai – Sebagai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya mempertahankan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada sebarang tuduhan yang dilemparkan, bukan memaksanya meletakkan jawatan.
Perkara itu ditegaskan 23 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan empat ahli Parlimen PKR dalam satu kenyataan berhubung tindakan Anwar semalam yang menyatakan bahawa Mohamed Azmin harus meletakkan jawatan sekiranya kesahihan video seks yang menjadi persoalan dibuktikan.
Untuk rekod, dalam 23 MPP terdiri daripada 14 ahli Parlimen serta tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dan ia sekali gus memberi isyarat mereka bersama Mohamed Azmin.
Dalam satu kenyataan bersama, Ahli MPP dan Ahli Parlimen PKR ini berkata, Presiden sewajarnya memberikan kepemimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Mohamed Azmin.
“Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau telah mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Mohamed Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.
“Justeru berdasarkan penafian tegas YB Timbalan Presiden berkaitan hal ini, Presiden sewajarnya mempertahankan Timbalan Presiden demi memelihara muafakat utuh PKR dan tidak sama sekali cuba menggasir kedudukan Timbalan Presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, Anwar wajar menyorot kembali asas perjuangan reformasi di mana seluruh kepemimpinan dan anggota PKR berdiri teguh mempertahankan beliau daripada fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun pada tahun 2011, ketika itu Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa video seks tersebut adalah tulen.
“Mohamed Azmin secara konsisten telah mempertahankan beliau dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan ‘gutter politics.’ Maka, kami ingin menegaskan bahawa PKR wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan Timbalan Presiden.
“Kami akan bersama Mohamed Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini.
“Kami menggesa Anwar selaku Presiden PKR untuk berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti. Kami menyeru Presiden untuk segera menggembleng perpaduan anggota demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan dan negara yang tercinta ini,” katanya.
Berikut adalah senarai MPP dan Ahli Parlimen PKR yang turut serta dalam kenyataan bersama tersebut.
Ahli – Ahli Majlis Pimpinan Pusat :
1. Zuraida Kamaruddin – Naib Presiden
2. Dr. Xavier Jayakumar – Naib Presiden
3. Chua Tian Chang – Naib Presiden
4. Ali Biju – Naib Presiden
5. Haniza Talha – Ketua Wanita / Ahli MPP
6. Datuk Seri Dr. Santhara – Timbalan Setiausaha Agung / Ahli MPP
7. Amirudin Shari – Ahli MPP
8. Datuk Rashid Hasnon – Ahli MPP
9. Sivarasa Rasiah – Ahli MPP
10. Rahimah Majid – Ahli MPP
11. Elizabeth Wong – Ahli MPP
12. Datuk Saifuddin Abdullah – Ahli MPP
13. Zakaria Abdul Hamid – Ahli MPP
14. Mohd Radzlan Jalaludin – Ahli MPP
15. Datuk Dr. Mansor Othman – Ahli MPP
16. Datuk Kamarudin Jaafar – Ahli MPP
17. Azmizam Zaman Huri – Ahli MPP
18. Gan Pei Nei – Ahli MPP
19. Hee Loy Sian – Ahli MPP
20. Lee Kai Loon – Ahli MPP
21. Baru Bian – Ahli MPP / Pengerusi MPN Sarawak (MP)
22. Dr Daroyah – Timbalan Ketua Wanita / Ahli MPP
23. Muhammad Hilman Idham – Timbalan Ketua AMK / Ahli MPP
Ahli – Ahli Parlimen :
1. Steven Choong – MP Tebrau
2. Jonathan Yasin – MP Ranau
3. Willy Mongin – MP Puncak Borneo
4. Maria Chin Abdullah – MP Petaling Jaya -UTUSAN ONLINE











