KETUA Jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Misbun Sidek langsung tidak terkilan dengan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberikan peranan baharu kepadanya selepas badan induk itu melakukan perubahan pada struktur kejurulatihan.
Legenda badminton tanah air itu diberikan tanggungjawab membimbing kelompok pemain lebih muda manakala Hendrawan pula melatih pemain-pemain lebih senior termasuk perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia.
Misbun yang pernah membimbing Datuk Lee Chong Wei sehingga menjadi pemain No. 1 dunia bagaimanapun menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka selain tidak mempunyai sebarang masalah melatih mana-mana pemain yang ditetapkan.
“Mengenai pembahagian skuad, saya hanya dimaklumkan inilah perancangan yang diajukan dan tidak ada masalah untuk saya latih sesiapa pun. Apa yang penting, ada tempat untuk saya jaga pemain-pemain itu nanti.
“Saya tidak ada masalah dengan peranan baharu ini dan menerimanya secara hati terbuka asalkan pemain-pemain boleh berikan kerjasama. Secara keseluruhan, saya terima dan bersetuju dengan perubahan ini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Misbun juga percaya pemain-pemain yang berada di bawah bimbingannya seperti Leong Jun Hao, Lim Chi Wing, Muhammad Ziyad Md. Tah, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Tan Jia Wei turut memiliki potensi serta boleh digilap bakatnya.
“Bagi Jun Hao, dia masih cedera dan menjalani proses pemulihan di ISN (Institut Sukan Negara), jadi masih berada dalam pemantauan. Bagaimanapun, saya masih ada Jia Wei, Aidil, Ziyad dan Chi Wing, jadi tidak ada masalah.
“Saya tidak kisah status pemain-pemain tersebut kerana saya percaya kemampuan mereka masih boleh ditingkatkan dan saya selesa dengan keadaan itu. Buat masa sekarang, beri saya masa untuk saya jaga dan asah pemain-pemain sedia ada ini,” tambahnya.
Misbun turut mengakui faktor pemain yang masih memerlukan khidmatnya selain ingin meneruskan usaha dilakukan bersama BAM membuatkan pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia 1985 itu bersetuju untuk melanjutkan kontraknya sehingga tahun depan.
“Apabila diberi tawaran melanjutkan kontrak, saya ada fikir sama ada mahu teruskan atau tidak. Selepas memikirkan ada pemain-pemain muda masih perlukan khidmat saya serta usaha yang dilakukan sepanjang dua tahun ini, saya terima tawaran itu,” ujarnya.











