KUALA LUMPUR 14 Julai – MINI Malaysia memperkenalkan program servis dan baiki inklusif (MSRI) bagi semua kenderaan MINI yang dibeli mulai 8 Julai sehingga 31 Ogos 2019.
Pengeluar kenderaan premium kompak itu melanjutkan program servis dan jaminan bagi kesemua model kereta miliknya sempena ulang tahun MINI ke-60.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, tawaran itu memberikan pemilik MINI baharu servis berjadual percuma terhad untuk 60 bulan atau 80,000 kilometer (mana-mana yang dipenuhi dahulu).
Katanya, ia termasuk jaminan bertempoh 60 bulan tanpa had perbatuan bagi kesemua model yang terangkum dalam portfolio kenderaan MINI.
“Pada tahun ini, kami meraikan inovasi British yang berusia 60 tahun, ia hadir bersama reka bentuk ikonik serta ciri-ciri pemanduan mengujakan yang sinonim dengannya.
“Sejak 1959, MINI tidak lekang mencabar batasan dan pada masa sama, masih mengekalkan identiti berpaksikan penggunaan ruang yang kreatif, keseronokan pemanduan, gaya dan individualisasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sempena meraikan ulang tahun ke-60 ini, MINI Malaysia melanjutkan program MSRI kepada pemilik MINI baharu untuk membawakan pengalaman pemilikan premium yang dijanjikan.
Servis yang ditawarkan melalui program itu sejajar dengan sistem servis berasaskan keadaan dan ia merangkumi pemeriksaan kenderaan, penukaran minyak enjin serta servis untuk penapis udara, penapis bahan api, penapis mikro, palam pencucuh dan bendalir brek.
Tawaran eksklusif itu boleh dimiliki bagi semua pembelian kenderaan MINI yang didaftarkan dengan JPJ dalam tempoh program tersebut bermula 8 Julai sehingga 31 Ogos 2019.
Di samping itu, program MSRI juga boleh didapatkan oleh pelanggan pakej gerombongan (fleet packages), kenderaan dikecualikan duti serta Program Kepulangan Pakar (REP).











