BERDASARKAN laporan media massa, kerajaan masih lagi buntu walaupun telah melakukan pelbagai usaha untuk mengenal pasti punca pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor yang sudah berlarutan agak lama iaitu hampir mencapai tempoh dua minggu.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin juga dilaporkan berkata, pihaknya tidak berputus asa dan usaha akan terus dilakukan bagi mengenal pasti punca pencemaran.
Beliau menyifatkan kadaan kali ini agak berbeza dengan insiden di Sungai Kim Kim kerana mangsa yang menerima rawatan adalah dari sekolah berbeza-beza dan ada antaranya terletak sangat jauh dari sekolah lain.
Menyentuh isu ini, saya berpendapat rakyat perlu diyakinkan dengan tindakan yang lebih tegas dan komprehensif daripada pihak kerajaan dalam menangani kes udara beracun yang berulang seperti yang berlaku di Pasir Gudang.
Kementerian terbabit sama ada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Kesihatan dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, serta beberapa agensi terbabit sewajarnya merangka pendekatan lebih bersepadu dalam menangani peristiwa yang berulang ini.
Ini penting bagi membina keyakinan rakyat terhadap jaminan keselamatan yang dijanjikan oleh kerajaan terhadap orang ramai terutamanya pelajar sekolah dan guru-guru.
Dalam masa sama, saya ingin menyentuh polemik yang timbul apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof didakwa menyatakan dalam akaun Facebook miliknya baru-baru ini bahawa beliau di bawa melawat pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uighur di Xinjiang, China dan didapati mereka seolah-olah hidup dengan harmoni tanpa ditindas.
Mujahid kemudiannya menjawab kritikan terhadapnya dengan menyatakan maklumat yang dimuat naik dalam laman sosial miliknya hanyalah mengenai aktiviti yang dilakukan beliau dan tiada apa-apa kenyataan dikeluarkan menyatakan beliau menghentam atau menyokong mana-mana pihak berhubung isu Uighur.
Saya berpendapat isu penindasan terhadap umat Islam minoriti etnik Uighur ini memerlukan penjelasan yang lebih tepat kerana ia juga menimbulkan keresahan rakyat Malaysia tentang penindasan yang mungkin berlaku di sana.
Dasar kerajaan Malaysia perlu dilihat konsisten terhadap sebarang penindasan etnik tanpa mengira siapa pelakunya, sama ada rakan niaga utama ataupun tidak.
Kerajaan Malaysia sewajarnya dilihat mempunyai kepekaan global dan menggunakan pelbagai saluran dan pendekatan yang ada bagi menghentikan sebarang tindakan ganas terutama terhadap umat Islam yang sedang diserang dengan alasan terorisme atau kerana wujudnya Islamophobia.
PENULIS ialah Pengerusi Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M).











