Kita semua sedia maklum terhadap dakwaan salahlaku yang dilemparkan terhadap seorang menteri kanan kerajaan persekutuan baru-baru ini.
Dakwaan dibuat dengan paparan video dan pengakuan oleh seorang yang bernama Haziq yang juga merupakan seorang penjawat awam di sebuah kementerian kerajaan Persekutuan.
Isu ini menjadi lebih serius apabila individu tersebut membuat cabaran terbuka untuk menteri yang dia namakan iaitu Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyaman beliau di mahkamah untuk membuktikan kebenaran dakwaan beliau.
Pada hemat saya menteri berkenaan perlu menyahut cabaran ini dan mengambil peluang di mahkamah nanti untuk membuktikan dakwaan itu palsu dan sekali gus membersihkan nama beliau.
Sebagai seorang menteri kanan, menjawat jawatan kanan dalam parti pemerintah dan antara tokoh yang disebut sebut mempunyai potensi untuk menjadi Perdana Menteri, beliau wajib membersihkan nama beliau di mahkamah secara terbuka kerana menjadi orang nombor satu negara memerlukan imej dan rekod bersih bagi menjamin keutuhan negara tidak tergugat.
Saya sendiri pernah mengakui potensi beliau sebagai pemimpin khususnya berdasarkan rekod cemerlang beliau mentadbir negeri kelahiran saya Selangor dan membantunya di Selangor dalam PRU lalu.
Namun apabila dakwaan serius begini tampil, proses membersihkan nama daripada tuduhan berat mesti dilakukan secara telus dan tanpa kompromi.
Perlu dijelaskan isu ini bukan hanya sekadar klip video yang tersebar secara rambang tanpa sumber. Ia membabitkan pelaku yang telah membuat pengakuan secara terbuka dan juga telah membuat cabaran secara terbuka. Makanya ia mesti dijawab dan dijelaskan melalui proses pengadilan yang telus dan adil.
Dalam Malaysia Baharu yang diisytiharkan telus dan transparen, sistem pengadilannya tentulah juga adil dan sewajarnya setiap warga apatah lagi pemimpin kerajaan sendiri menggunakan medan yang dihormarti dan ‘credible’ ini untuk mencari keadilan dan kebenaran.
Mohamad Ezam Mohd. Nor
Penulis adalah bekas pengasas dan ketua pemuda keadilan yg pertama 1999-2007. Sekarang dalam proses menubuhkan sebuah parti anti rasuah berbilang kaum atas nama Parti Negara.
*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.











