Menjahit untuk hidup, bayar PTPTN - Utusan Malaysia

Menjahit untuk hidup, bayar PTPTN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 28 Julai – Seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pengurusan Sumber Tumbuhan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) tidak malu bergelar tukang jahit sejak 2016 demi kelangsungan hidup.

Noorhayti Mohd. Noor, 30, dari Kampung Wakaf Stan di sini berkata, bekerja sebagai tukang jahit dari rumah menjadi pilihan paling praktikal setelah dia tiba-tiba berdepan masalah sakit kulit atau psoriasis sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, seluruh badan terutama kepala menjadi gatal menyebabkan Noorhayti tidak boleh menutup rambut dan memakai pakaian berlengan panjang bagi tempoh terlalu lama sekali gus menyukarkannya untuk bekerja di luar rumah ataupun dalam kerjaya yang selari dengan bidangnya di universiti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sempat menjadi guru tuisyen dan bekerja di kedai kosmetik di bandar ini selama dua tahun sebelum terpaksa berhenti pada 2014 akibat penyakit psoriasis.

“Setelah setahun berulang alik mendapatkan rawatan di hospital, saya nekad belajar menjahit sebaik melihat iklan kursus jahitan percuma yang ditawarkan di bawah Bengkel Kemahiran Hidup Majlis Agama islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) pada 2015.

“Saya perlu buat sesuatu cari duit sendiri, ayah saya seorang pemandu teksi dengan pendapatan tidak menentu, saya kuatkan semangat lebih-lebih lagi memikirkan perlu membayar hutang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM21,000,”katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Noorhayti yang belum berkahwin merupakan anak kedua daripada lapan beradik dengan tiga daripadanya masih lagi belajar di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Noorhayti berkata, dia berjaya menamatkan kursus jahitan selama lapan bulan anjuran Maik itu pada Disember 2015 biarpun mengakui tertekan di peringkat awal kerana tiada asas di samping rasa tidak selesa kerana penyakit yang dihidapnya.

“Awal tahun berikutnya saya tidak pandang ke belakang lagi dan terus mula memberanikan diri mengambil tempahan daripada kawan-kawan dan jiran sekampung.

“Pihak Maik memberikan bantuan sebanyak RM3,000 yang saya gunakan untuk membeli mesin jahit selain menampung sebahagian kos membina bengkel kecil bersebelahan rumah,” katanya.

Noorhayti yang kini pandai menjahit pakaian lelaki dan wanita berkata, dia mengenakan upah antara RM35 sehingga RM100 bagi sepasang baju bergantung kepada fesyen dan jenis kain termasuk uniform pejabat.

Katanya, pada masa ini dia mampu beroleh pendapatan sekurang-kurangnya RM500 sebulan pada bulan biasa dan boleh mencecah sehingga RM3,000 pada musim perayaan bergantung kepada tempahan pelanggan.

“Pendapatan yang diperoleh walaupun tidak banyak tetapi dapat saya gunakan untuk membiayai rawatan secara tradisional bagi penyakit kulit yang masih lagi belum sembuh.

“Saya juga bersyukur kerana bermula tahun lalu saya dapat melunaskan hutang PTPTN secara konsisten sebanyak RM200 sebulan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini